Wednesday 8 June 2011

SELAWAT....NABI....

Assalamualaikum warahmatullah,

Dari anak kecil hingga yang dewasa, sebagai seorang muslim kita pasti tahu bagaimana untuk berselawat. Jika dahulu sewaktu kecil apabila sakit atau berada dalam ketakutan, orang tua biasanya akan menyuruh kita berselawat sebanyak mungkin.

Kita sebenarnya sudah lama didedahkan dengan selawat dan telah banyak kali juga diberitahu akan kelebihan selawat, namun tidak ramai yang memahaminya kerana tiada rasa dalam berselawat. Ada kemungkinan, ketiadaan rasa ini terbit dari tiada rasa cinta yang mendalam terhadap baginda Rasulullah SAW.

Dahulu semasa kecil, mak dan ayah selalu berpesan, “Kamu kalau berdoa jangan sekali-kali lupa berselawat. Nanti doa tak sampai.” Begitu juga mak selalu pesan, “Minum air ini, jangan lupa selawat 3 kali.”

Zaman dahulu, kebiasaannya, anak-anak hanya mendengar dan jarang benar bertanya itu ini. Ini mungkin kerana rasa takut atau hormat kepada mak dan ayah yang akan membuatkan anak-anak patuh setiap tutur kata tanpa banyak persoalan. Jauh bezanya dengan anak-anak zaman PS2 yang serba maju hari ini, mereka lebih kritikal dalam berfikir. Mereka lebih sukakan penjelasan logik yang dapat diterima oleh akal mereka.

Kita sebagai ibu bapa harus mempunyai ilmu dalam menyampaikan hal-hal kebaikan. Ini tidak bermaksud kita tidak boleh menyampaikan sesuatu yang berkaitan dengan agama. Maksudnya, kita perlu mempunyai teknik penyampaian yang betul, sesuai dengan keadaan hari ini. Tentu kita juga tidak mahu dikatakan mengajar anak-anak tetapi kita sendiri tidak memahami apa yang kita ajarkan.

Selawat boleh jadi salah satu perkara yang kian dipinggirkan dalam kehidupan hari ini. Mungkin tidak bagi golongan yang berpendidikan agama, namun, tidak mustahil jika mereka juga mula meminggirkannya kerana banyak ilmu teori dari praktikal.

Apakah amalan kita sehari-hari, selain daripada amalan wajib? Tidak ramai yang dapat meluangkan masa untuk mengerjakan solat sunat pada waktu siang hari akibat kekangan masa, kecuali bertahajud pada malam hari. Sebenarnya, keperluan banyaknya amalan tidak begitu penting tetapi yang paling penting adalah sesuatu yang dibuat atau amal itu biarlah berterusan walaupun sedikit. Berselawat juga merupakan amalan yang tidak rugi kita amalkan bila-bila masa, di mana saja... (NB: ….kecuali dalam toiletlah, ya...)

Selawat begitu penting dalam kehidupan kita. Mengapa dikatakan penting? Firman Allah SWT lagi yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah SWT dan para Malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Maka, wahai mereka yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya dengan sebaik selawat dan salam.” (Surah al-Ahzab 33:56)

Umat Muhammad SAW sepatutnya tidak memandang remeh akan kepentingan ber kerana Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang telah memperlihatkan betapa kasih dan sayang-Nya kepada Rasulullah SAW dengan berselawat kepadanya sebagai pujian-Nya dan memuliakan serta mengutamakan Rasulullah SAW di hadapan para malaikat-Nya. Para malaikat juga turut melahirkan keutamaan ke atas Rasulullah SAW dengan mendoakan, mengucap selawat dan memohon keampunan baginya.

Kaum Muslimin sebagai umat Nabi SAW berkewajipan melahirkan rasa kasih, pujian, sanjungan dan penghormatan yang tinggi kepada baginda, kerana kedudukan dan kemuliannya melebihi para Nabi dan Rasul dengan memperbanyakkan ucapan selawat dan salam sebagai memperkuatkan iman serta berpegang teguh kepada sunnah dan mengamalkan segala ajarannya sebagai pedoman hidup.

Dengan membaca selawat kepada Rasulullah SAW, setiap doa dan amalan-amalan yang lain akan diterima oleh Allah. Justeru itu selawat memainkan peranan penting dalam segala amalan hidup kerana ianya dapat mempengaruhi keberkatan dalam hidup manusia yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya. Lihatlah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ad-Dailami yang bermaksud, “Setiap doa adalah terhalang, sehingga berselawat ke atas Nabi SAW.” (Hadis riwayat ad-Dailami)

Kita tentu tidak mahu penat-penat berdoa berjela-jela, tetapi tunggu-punya-tunggu, tidak juga dimakbulkan Allah SWT. Kenalah semak balik adab berdoa, sama ada cara kita betul ataupun salah.

Seterusnya, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tidak duduk satu kaum dalam satu majlis, dan mereka tidak berzikir kepada Allah dan berselawat ke atas Nabi mereka (Nabi Muhammad SAW) melainkan penyesalan akan menimpa mereka.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Ahmad)

Demi cinta pada Rasulullah SAW

Hari ini sudah ramai pemandu menggunakan GPS dalam pemanduan supaya cepat sampai ke destinasi yang dituju tanpa perlu menempuhi jalan sesat. Jika dahulu kita memandu tanpa GPS, kita mungkin tersesat jalan, menemui jalan mati dan menghabiskan banyak masa di atas jalanraya serta terpaksa berhenti beberapa kali untuk bertanyakan arah. Kini dengan adanya GPS, pemanduan kita menjadi lebih mudah, lebih efisien, lebih cepat dan produktiviti meningkat apabila cepat sampai ke destinasi yang dituju. Ini bukanlah satu promosi GPS, tetapi satu analog keperluan selawat.

Hebatnya berselawat boleh ditamsilkan sebagai GPS hidup tetapi ianya juga sebagai penghapus dosa yang amat mudah seperti yang diriwayatkan oleh ad-Dailami, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barang siapa berselawat kepadaku pada hari Jumaat dua ratus selawat, maka diampuni baginya dosa dua ratus tahun.” (Hadis riwayat ad-Dailami)

Inilah lagi satu rahsia kenapa selawat itu penting dalam kehidupan kita. Berdasarkan hadis di atas, seandainya kita ingin mencintai baginda Rasulullah SAW, kita perlu mengikut apa yang dikatakannya dan apabila kita melihat pula bukti kebaikan dari perbuatan yang Baginda sarankan, maka kasih sayang kita kepadanya akan lebih bertambah dari hari ke hari hingga terasa satu perasaan yang dalam ketika menyebut namanya.

Mulai hari ini, cubalah kita meletakkan satu peringatan untuk berselawat di telefon bimbit setiap satu jam, terutamanya sewaktu bangun tidur dan sebelum tidur. Jangan ditanya berapa kali kita perlu berselawat, sebaik-baiknya janganlah diperhitungkan berapa banyak kita harus berselawat sebaliknya hitunglah berapa ikhlas kita berselawat.

Jika nombor menjadi objektif, hilang rasa ‘nikmat’ dan timbullah tension sengsara kerana terkejar-kejar hendak mencukupkan angka. Biar sekali asalkan ada rasa ikhlas, biar sekali asalkan datangnya dari jiwa kerana ini akan membuatkan kita lebih dekat kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW sebagaimana sabda baginda yang bermaksud, “Barang siapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah menurunkan rahmat kepadanya sepuluh kali.” (Hadis riwayat Muslim dari Abu Hurairah) dan dalam hadis yang lain pula disebut, “Barangsiapa berselawat untukku di pagi hari sepuluh kali dan di petang hari sepuluh kali, mendapatlah ia syafa’atku pada hari kiamat.” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Setiap hari tanpa sedar, kita akan mengalami tekanan, sama ada kecil mahupun besar dan kita perlukan penurunan gelombang otak yang stres dengan kadar segera. Bagaimana caranya? Selepas membaca entry ini, mulai hari ini, marilah kita mengamalkan selawat dan mari juga kita mulakan berselawat setiap kali kita hendak minum. Minumlah apa saja yang berkenan di tekak, asalkan tidak melanggar syarak, baik air limau, air bandung, air tebu, air soya, air cincau, teh tarik, nescafe tarik atau apa saja, tidak semestinya seperti fahaman selalu yang memerlukan air kosong.

Berselawatlah kerana baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Berselawatlah kamu kepadaku, kerana selawat itu menjadi zakat (penghening jiwa dan penghapus dosa) bagimu.” (Hadis riwayat Ibn Murdaweh) dan sabda baginda lagi yang bermaksud, “Manusia yang paling utama terhadap diriku pada hari qiamat, ialah manusia yang paling banyak bershalawat untukku.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Renung-renungkan dan mari beramal!

Rujukan asal kompilasi : Mudahnya hidup dengan selawat ~ Dr Azhar Sarip, MW#1384 dan blog.its.ac.id

Capaian entry berkaitan :
• Kelebihan selawat
Firman Allah SWT :
[7:179] Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.

Hadis Rasulullah SAW:
Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah SAW., sabdanya: "Siapa yang tasbih tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, takbir tiga puluh tiga kali, jadi jumlahnya sembilan puluh sembilan kali, kemudian dicukupkannya seratus dengan membaca: "La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syai-in qadir. Maka diampuni Allah segala kesalahannya, walaupun sebanyak buih di lautan." (Hadis riwayat Muslim)

MAMA.....

Pada suatu hari, Saya bertanya kepada emak, "Maa satu pilihan hati, orang yang sayangkan kita atau yang kita sayang? "Mak jawab, "dua-dua bukan.." Saya tercengang..Mak mengukir senyuman.

"Pilihan hati mak adalah yang sayangkan kita kerana Allah.." Saya menarik nafas dalam-dalam."Macam mana nak tau orang tu sayang kita kerana apa?" Mak diam sekejap berfikir dan kemudian tersenyum.

Rasanya mak dapat menduga apa yang sedang bermain dalam hati anak perempuannya. Mana mungkin saya mampu menyorokkan rahsia hati dari mak sedangkan sekilas saya pun mak mampu membacanya."Yang paling tahu hanya Allah.." mak merenung dalam-dalam wajah anaknya.

"Kerana hanya Allah mampu membaca hati hambaNya.. " mak menyusun ayat-ayatnya."Dan keikhlasan kerana Allah itu akan terserlah keberkatannya tanpa perlu sengaja ditonjolkan oleh seseorang tu.."

Saya memintas, "Tak faham.."Mak menyambung "Cinta di dalam jalan Allah.. Bertemu kerana sama-sama mencari redha Allah.." Mak menyambung lagi,"begini, setiap insan yang bergelar manusia telah Allah ciptakan berpasang-pasangan. Rasa ingin dikasihi antara seorang suami dan isteri suatu fitrah. Automatik boleh ada daya tarikan magnet tu.."

Wajah saya merah, sedikit cemas jika mak dapat mengesan gelora jiwa muda ini.. Mak menyambung "Setiap manusia telah Allah tetapkan rezeki,jodoh dan maut sejak azali lagi..

Persoalannya ialah.. Siapakah jodohnya itu?" mak berhenti seketika.Saya tunduk malu, cuba menyorokkan rasa panas di pipi.Emak buat-buat tidak nampak.

Secret Admire

"Kakak, mak dulu masa remaja ada secret admire.. Rajin betul dia hantar surat ..Masa tu mak dah tahu yang bercinta sebelum kahwin ni tak halal..Dan masa tu mak tekad tak mahu layan sebab mak takut arwah tokwan kena seksa dalam kubur.. Mak sedar mak anak yatim, anak orang miskin, adik beradik ramai.. Mak nak belajar sungguh-sungguh. .lama budak tu tunggu mak..Akhirnya mak bagi kata putus, mak hanya akan membalas cinta dia jika dia sah suami mak..

Dan dia memang bukan jodoh mak, maka tak pernah dia menerima balasan cinta tu." Mak merenung jauh.Saya merapatkan badan kepada emak, semakin berminat dengan kisah lama mak..

"Mak memang tak ada perasaan langsung pada dia ke?" saya menyoal sambil memandang tajam wajah mak. Emak ketawa kecil."Walaupun mungkin ada, mak tak pernah bagi peluang pada diri mak untuk mengisytiharkan perasaan tu..Mak takut pada Allah.

Mak bukan seperti rakan sebaya mak yang lain.."Mak, seperti kakak.." mak memandang saya sambil memegang pipi dan dagu saya.kemudian tangannya mengusap rambut di kepala saya.

"Mak anak ustaz ustazah.. Tapi zaman tu ustaz ustazah nya masih berkebaya pendek dan ketat. Tok wan mak kiyai. Mungkin berkat doa keturunan sebelum ni yang soleh-soleh, hati mak tertarik sangat pada agama walaupun tiada sesiapa yang mendorong.. Bila di sekolah, mak pelajar pertama yang bertudung.. Mak membawa imej agama. Kawan-kawan dan cikgu-cikgu panggil mak dengan gelaran mak Aji.. Sebab zaman tu hujung 70an dan awal 80an tak ramai lagi yang bertudung betul menutup auratnya..Zaman tudung nipis dan nampak jambul. Kemudian kawan-kawan mak sikit-sikit ikut bertudung.

Akhirnya kami semua dipanggil di perhimpunan. Kami dimarah guru besar kerana bertudung sedangkan ustazah kami bertudung tapi nampak jambulnya.."emak melemparkan pandangan ke lantai. "Selepas tu ustazah jumpa kami secara persendirian. Ustazah kata dia tak mampu nak pakai seperti kami. Dia suruh kami teruskan.." sambung emak.

Ada getar di hujung suara emak. Kisah silam perjuangan emak di sekolah dahulu sikit-sikit emak ceritakan pada saya. Itulah juga salah satu inspirasi kepada saya untuk bangkit semula setiap kali terjatuh ketika berjuang di sekolah dulu.

"Mungkin kerana personaliti mak, mak menjadi tempat rujukan kawan-kawan mak.. Jadi, bila mak nak ambil sesuatu tindakan, mak kena fikir betul-betul sama da tindakan mak tu akan menyebabkan Allah marah atau tidak. Mak ayah berdosa tak? Dan maruah pembawa agama terjejas tak? Kalau mak membalas cinta si lelaki tadi, bermakna mak sedang menconteng arang di muka-muka pembawa-pembawa agama. Orang akan pandang serong terhadap orang yang bertudung sedangkan kesilapan tu hanya seorang dua yang buat. Besar fitnah akan timbul apabila orang-orang agama mengambil ringan batas syariat duhai anak.." mak menelan air liurnya. Saya diam.

Fikiran saya sedang cuba memahami maksud mak saya.


Adakah ia suatu diskriminasi?


"Kakak.. Jatuh cinta perkara biasa. Apabila kita jatuh cinta pada seseorang, itu tandanya ada
sesuatu keistimewaan pada seseorang tu. Apatah lagi orang yang kita jatuh cinta tu di atas jalan dakwah ni..Tetapi kita kena ingat.. Kita tak akan dikahwinkan dengan seseorang atas sebab jatuh cinta atau saling cinta mencintai.. Bercouple mungkin.. Tetapi bukan berkahwin... Kerana kita berkahwin dengan jodoh kita, jodoh yang Allah dah tetapkan sejak azali.. Dan tak mustahil orang yang kita paling benci itulah jodoh kita yang kita akan dikahwinkan dengannya.."

Tiba-tiba air mata saya mengalir. Argh! Ego saya kalah bila mendengar hujah emak. Emak meneruskan, "Allah itu Maha Adil.. Dia tak pernah menzalimi hambaNya..Sesungguh nya, yang selalu menzalimi hambaNya ialah diri hamba tu sendiri.. Sebabnya hamba tu degil. Dia mahukan yang bukan haknya, yang bukan milik dia.

Mencintai seseorang tidak semestinya memilikinya. Dalam Islam, kita dah diajar untuk saling mencintai antara satu sama lain seperti diri sendiri.. Jadi apabila kita mencintai saudara perempuan, kita bebas peluk dia. Tetapi bila dengan lelaki, kita ada batas-batasnya.

Orang kafir kata batas-batas ini suatu diskriminasi, tetapi sebenarnya batas-batas syariat
itulah yang memelihara kehormatan seorang lelaki dan seorang perempuan. Cuba kakak renungkan, kita mengenali seorang insan yang amat baik, sempurna agamanya dan rajin. Lalu kita jatuh hati padanya.

Ditakdirkan jodohnya dengan insan lain, kita pula dengan yang lain.. Tetapi itu tidak bermakna ukhwah antara kita dan dia terputus.. Kita dan dia sama-sama mencari redha Allah.. Kita dan dia masih boleh sama-sama bekerjasama untuk mencari redha Allah..

Perbezaannya, dia halal untuk isterinya sedangkan untuk kita, dia tetap lelaki ajnabi seperti yang awalnya." emak berhenti seketika.. Bukan luar biasa...

Tentu kering tekak emak menerangkan kepada saya persoalan hati ini.
"Kakak.. jadi di sini mak nak kakak faham, jatuh cinta bukan perkara luar biasa..Dan berkahwin pun bukan suatu jaminan untuk tak jatuh cinta pada lelaki lain.. Kerana itulah ramai isteri yang
curang, suami yang curang.. Ada orang tukar pasangan macam tukar baju. Apa yang
penting ialah kita kena perjelaskan pada diri kita supaya setiap kali kita jatuh cinta, jatuh cinta
itu kerana kita jatuh cinta kepada Pencipta dia. Kita bagi tau pada diri kita berulang kali yang
kita mencintai Allah, kerana itu kita mencintai si dia. Letakkan Allah sebagai sempadan hati kita, segala perkara yang kita cintai dan sayangi termasuk mak abah adalah kerana mencintai Allah..

Dan apabila kita membenci seseorang atau sesuatu, beri tahu pada diri sendiri berulangkali yang kita benci sekian-sekian hal kerana Allah semata-mata. ."

"Kakak.. Hati kita ni walaupun dalam dada kita sendiri, ia tetap bukan milik kita. Kita tak mampu
untuk mengawalnya. . Hanya Allah yang boleh memegangnya. . Sebab tu kita kena dekatkan diri dengan Allah.. Sebab kita nak dia pegang kukuh- kukuh hati kita. Bila dia pelihara dan masuk dalam hati kita, itulah nikmat lazatnnya bercinta. Masa tu biarpun satu dunia menyakiti kita, kita tak rasa sakit sebab kita asyik dengan nikmat bercinta dengan Allah..Bercinta dengan Allah sangat berbeza dari bercinta dengan manusia. Kerana tentulah pegalaman bercinta dengan lelaki kaya,rupawan, sempurna dan bijaksana tak sama rasanya bercinta dengan lelaki miskin, hodoh,cacat dan dungu.. Betapa nikmatnya cinta Allah, hanya mereka yang
pernah merasai sahaja yang mampu mengerti. " Redha "Kakak.. Walau siapapun jodoh yang Allah hantarkan untuk kakak, terimalah dengan hati yang redha.. Tak mustahil dia adalah orang yang kita benci. Kalau yang kakak sayang, tak jadi hal lah.. Tapi kalau dapat yang kakak tak nak, lantaran kelemahan yang ada pada dia, ingatlah bahawa dalam diri setiap insan telah Allah ciptakan dengan kelebihan masing -masing. Dan mungkin kakak ada kekuatan yang dapat mengubah si lelaki tadi supaya hidup dia bermakna dan mungkin kakak sahaja yang mampu mencungkil kelebihan yang ada pada dia.. Mungkin juga si lelaki ini ada sesuatu kelebihan yang kakak sangat-sangat perlukan yang satu dunia tak mampu bagi pada kakak..

Alangkah bertuahnya kakak kalau kakak mengerti setiap pemberian Allah dan belajar untuk bersyukur.. "

Sekali lagi berjuraian air mata saya turun. Terasa lemah lutut hendak berdiri. Emak menarik tubuh saya dan memeluk erat. Pelukan emak sangat-sangat kuat.

"Emak dah didik anak emak dari belum lahir untuk mencintai Allah.. Sekarang emak serahkan anak emak yang mak sayang sangat ni pada Allah untuk Dia pelihara.."

Emak mengakhiri kata-katanya dengan suara sebak dan air mata yang mengalir ke bahu saya...